Monday 14 December 2015

Photobook!


Alhamdulillah, dapat miliki photobook yang berharga RM4. Kualiti bagus dan harga pun bagus eheh.
Boleh lihat di laman web photobook malaysia ;)

Thursday 10 December 2015

Sebelum tibanya jodoh dan ajal

"Ma, next week nak ke Tanah Merah, ada job sikit kat sana"
"Orang kahwin ke?"
"Haah, kawan satu sekolah dulu yang kahwin"
"Oh..mudanya kahwin, uyu pulak bila?" Persoalan ditambah pula dengan "sengihan" ma.
"Err..masih muda lagi, banyak lagi benda yang nak buat, terlalu banyak lagi benda tengah planning untuk future"


Itu adalah jawapan yang sama walau ibuku bertanya soalan mengenai hal kahwin sejak dulu lagi.
Mungkin ibu dah dapat jangka jawapan aku walau dia bertanya soalan yang sama.
(Ianya ditanya sekadar soalan sahaja, ibu tak serius pun.)

Kini aku dah mula tiba / sampai di fasa, "Ramai kawan dah kahwin"

Dulu, aku sekadar melihat kakak aku yang sibuk menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakannya.
Pernah aku terfikir ketika umur masih belasan tahun, persoalan yang timbul dalam fikiran ialah,

"Macam mana rasanya kalau lihat kawan-kawan dah kahwin? Bagaimana dengan friendship nanti? Still macam biasa ke persahabatan tu? Semua makin matang?"

Aku miliki 5 orang kakak dan seorang abang. Aku tak boleh duduk diam dan lihat kerenah mereka sahaja, aku perlu "ambil" pengalaman mereka dan proses segala pengalaman itu kearah satu pemikiran yang berbeza untuk diri aku.

Apa yang aku dapat lihat melalui pengalaman kakak dan diriku, rata-ratanya sahabat dan kakak yang sudah berkahwin...

"Sukar nak enjoy dengan sahabat. Masing-masing hanya berada disamping keluarga malah, balas mesej kawan pun amat jarang. Mungkin mereka bertambah sibuk dengan urusan keluarga dan kerja"

"Masing-masing mula berjauhan dan sukar untuk bertemu lagi. Possibility untuk bertemu ialah setahun / dua tahun / tiga tahun sekali"

"Semuanya sudah bertukar menjadi matang. Terlalu matang"

"Mereka mula memberi kata-kata, "Nak tanya encik abang dulu". Yup, itu merupakan suatu perkara yang baik tapi majoritinya diakhiri dengan "Cik abang cakap tak boleh..", "Husbeng busy" dan apa sahajalah"

"Perbualan atau topik wajib bagi yang dah kahwin ialah, bercakap soal anak dan masakan"

"Di instagram / facebook / twitter, akan mula dipenuhi dengan gambar isteri / suami / anak atau share artikel / tips kebahagiaan suami isteri"

Dan pelbagai lagi..

Itulah hakikat sebenar bagi yang sudah berkahwin.

"Hakikat sebenar" jika kita hanya berkahwin sekadar untuk kahwin sahaja. (Tanpa plan / fikir terlebih dahulu mengenai apa erti sebenar perkahwinan, bukan untuk bersama dengan pasangan hidup dan bina keluarga bahagia sahaja)

*   *   *

Ini merupakan fasa (fasa perkahwinan) yang aku rasa makin berat untuk dipikul dan makin takut untuk dekatinya.
Mungkin aku sudah terbiasa dengan hidup suka berseorangan, bebas ke mana sahaja dan boleh buat apa sahaja, aku makin takut dengan fasa ini.

Aku fikirkan pula dari segi, "Kenapa masing-masing ingin berkahwin?"

Bagi aku, ada dua sebab manusia ingin berkahwin, (Ini pendapat aku)

"Kehendak / keinginan mereka untuk berkeluarga. Ingin miliki pendamping hingga akhir hayat"

"Cinta. Cinta antara dua manusia yang mereka rasa, mereka perlu mengikat hubungan melalui perkahwinan agar mereka akan bersama hingga akhir hayat"

*   *   *

Setakat ini tiada lagi orang dewasa selain ibuku bertanya mengenai "Bila nak kahwin?"
Bagi aku, itu merupakan petanda yang baik.
Petanda bahawa, aku masih lagi muda.

Usia muda / remaja di mana, aku belum lagi memegang tanggungjawab lain.
Tanggungjawab yang lebih berat.
Dan aku boleh melakukan pelbagai perkara dengan lebih mudah.

Sebelum tibanya ajal.
Sebelum tibanya jodoh.
Lakukan perkara yang bermanfaat sebaik mungkin agar kita dapat membentuk menjadi seorang individu yang hebat di waktu usia muda ini. InshaAllah!

P/s : menjadi manusia hebat di dunia dan akhirat ;)

Monday 7 December 2015

Mo.no.log

Aku “turun” ke KL untuk semalaman sahaja. Bertemu dengan sahabat yang dirindui.
Sepanjang perjalanan ke KL, berseorangan, terasa agak sunyi walau dikelilingi orang ramai a.k.a stranger. 3 jam setengah perjalanan dari Gua Musang ke Kuala lumpur, hanya ditemani mp3 dan buku yang hanya sempat dibaca selama setengah jam sahaja. Tiga jam lagi, diluangkan dengan aktiviti merenung luar jendela dan tidur.

Tiba di terminal bersepadu selatan, kelihatan ramai orang yang sibuk menunggu waktu bas bertolak, membeli tiket dan bermacam-macam kerenah lagi. Aku mencari-cari ruang kosong untuk duduk sambil memikirkan aktiviti yang aku perlu luangkan pada waktu petang tu.

Duduk.
Buka tablet, check whatsapp.
Kelihatan group sahabat yang rapat agak “bising” dengan gurauan mereka dan saling berkongsi kisah masing-masing. Aku hanya menjadi seorang “silent reader” sahaja. Tak ada mood untuk membalas mesej mereka.

Sunyi, ye sunyi. Maksud aku, walaupun tempat tersebut sememangnya bising, aku terasa sunyi.
Aku hanya bermonolog berseorangan sambil melihat kerenah orang ramai.

Kata-kata yang aku sering ucapkan dalam fikiran aku,
“Aku tak suka tempat orang ramai”
“Tak sabar nak balik Gua Musang. Tempat yang tak sibuk dan aku boleh duduk berseorangan dalam keadaan yang sunyi tanpa melihat kelibat orang ramai walau ditempat awam sekalipun.”


*   *   *
Keesokan selepas aku berpisah dengan sahabat selepas pertemuan tiga jam lamanya, aku berseorangan lagi. Ke mid valley untuk mencari-cari buku di MPH.

Dalam LRT. Berdiri, tiada tempat duduk yang kosong. Pelbagai kerenah manusia yang aku dapat lihat. Aku bayangkan pula, apa impression orang lain bila diorang tengok aku ni, maybe “budak perempuan bercermin mata yang tembam, keseorangan, kesunyian dan pelik?” Eheh.

Aku bermonolog lagi bila melihat kerenah remaja-remaja yang sebaya atau muda atau tua dari aku dalam train tersebut. Dapat lihat gaya mereka agak sama. Gaya pemakaian untuk gadis masa kini.

Berselendang. Berkasut nike. Shawl keknis. Seluar yang membentuk kaki. Dan baju stylo.
Berbeza dengan aku, berselendang yang agak comot, berbaju labuh pattern ala-ala Indian, berseluar dan berselipar yang harganya RM14. Hewhew. Nampak kekampungannya tu.

Teringin nak mengikut trend. Boleh lihat sekarang majority perempuan semuanya cantik kerana mereka ikut trend! *Batuk*
Ditambah pula kelihatan para gadis saling memegang plastic / paper bag yang tertulis brand yang osem dan mahal, “GUCCI”, “PRADA”, etc . Ditambah lagi dan lagi dengan masing-masing memegang iphone, jika dibanding dengan aku, handphone berbunyi keypad bila menaip. Masih menggunakan telefon nokia untuk mesej dan berhubung dengan keluarga.

Berniat untuk dinner di mid valley sebenarnya, tapi kelihatan manusia yang terlalu ramai, lebih baik dinner di terminal bandar tasik selatan. Ada kedai mamak kat situ. Jimat duit.

Aku duduk di bangku bahagian orang paling sikit di BTS. Duduk membuka tablet, buku dan laptop. Luangkan masa sambil menunggu waktu bas bertolak. Tiga jam lagi waktu yang perlu ditunggu.

Dihadapan aku kelihatan sepasang kekasih dan ditemani kawan.
Mungkin perlu husnuzon? Adik beradik? Huhu.. mesra teramat sangat pelik kalau adik beradik.
Pasangan tersebut bergurau senda, sentuh menyentuh.
Hmm..teringat pula aku ada terpandang sepasang kekasih dalam LRT yang  si gadis tidur atas bahu lelaki dan juga scene dalam bas, sepasang kekasih yang geli geleman depan seat aku.. sentuh menyentuh lelaki perempuan, share air kotak, dan macam-macam lagi. Aku pasti 100% itu pasangan kekasih sebab mereka pelajar sekolah.

Pernah non muslim bertanya kepada kawan aku,
“Awak pakai tudung dan islam tak boleh sentuh lelaki kan?”
“Haah”
“Kenapa ada seorang gadis ni, bertudung tapi dia berpegangan tangan dengan boyfie dia?”

Kes “pegang tangan” ni, dua perkataan je. Tapi, nak explain kepada non muslim yang bertanya ni kena explain panjang lebar dan kena reply sebarang hujah-hujah dan pertanyaan dia. Orang lain buat hal, orang lain kena tanggung pula, apa kes ni?

Nama pun muslim, kita bersaudara kan?Ibarat pepatah yang direka sendiri, “jika sorang buat hal, seluruh keluarga turut tempias.”

Bukan tu je, sekarang disebabkan ig / fb / twitter yang sebar benda yang tak baik dilihat sebagai perkara biasa membuatkan orang lain akan ikut. Contoh? Hijabister famous yang ada boyfie asyik upload gambar pergi dating or etc etc. Laman sosial ni banyak impak, salah satunya bila benda yang menjadi “trend” semua orang akan ikut.

Ok, jauh sangat topic yang dibincangkan. Dari gua musang ke pasangan couple. Hew hew. Banyak lagi perkara bermain diminda. Ada juga timbul perasaan takut dengan masa depan. Takut jika Allah panjangkan umur ini (Alhamdulillah), lihat anak-anak / cucu-cucu masa depan tu agak-agak camne ye? Tengok anak muda sekarang pun dah takut. Diri ni siap bagi warning kat adik-adik supaya diorang tak terjebak dengan kancah-kancah sosial yang pelik ni.

Aku merenung lagi. Aku asyik marahi pasangan couple diluar sana yang mungkin mereka belum “dibuka mata dan hati” lagi yang mereka lakukan benda salah, aku reflect diri aku pula..

“Bayangkan suatu hari nanti, kau pulak yang bercouple? Camne?”
Gulp. Persoalan yang aku takut teramat sangat. Aku asyik istighfar kalau persoalan ni timbul. Serious, takut! Macam mana satu hari nanti hati aku akan berbolak balik? Dari hati membenci hal berkaitan benda tu tiba-tiba aku pula yang lakukan satu hari nanti?

“Ya Allah, jauhilah aku dengan perkara yang dekati zina”

Bermonolog yang panjang. Terlalu panjang.
Aku kemaskan segala barang untuk bergerak ke destinasi seterusnya, “Kedai mamak di BTS”

“Mee rebus satu”
“Okeyh.”

Mamak terus buatkan semangku mee rebus untuk aku.
“RM6.50 ye”
Gulp. Aku ingatkan below RM5. Aku hulurkan duit kertas RM10 dan terus bergerak ke meja makan.

Aku mencari-cari mee dalam sup, tapi apa yang aku jumpa ialah bihun. Sobs, ok mamak, ini bihun namanyaaa.. Mencari-cari pula sayur dalam sup tapi tiada. Hanya dipenuhi dengan beberapa keping tauge, daun sup dan lada sahaja. Ayam pun hanya separuh jari kelinking yang aku jumpa , mujur ada fishcake yang menyedapkan kuah bihun sup.  Alhamdulillah, apapun rezki :)

Aku mengira-ngira duit dalam dompet. Agak menangis sikit sebab terlebih bajet ke kuala lumpur. Teringin nak membeli hadiah hari jadi buat diri sendiri tapi, masih mengira-ngira bajet lagi. Tambah pula, duit-duit yang kita ada ni, kena hulurkan juga buat yang lebih memerlukan.

Pukul 9 malam. Setengah jam lagi bas nak bertolak ke Kelantan.
Aku menunggu di gate nombor tiga, menanti dengan bermonolog dan merenung lagi.
At least, kita berfikir tentang pelbagai perkara ; masalah diri, masalah ummah, apa-apa perkara sahaja dan juga fikirkan tentang solusinya juga!

Perjalanan di kuala lumpur membuatkan aku terus bermonolog dan melihat dunia dengan pandangan yang lain. Tiga jam setengah. Di seat sama seperti yang aku duduk semalam (perjalanan gua musang ke KL) dan bas dari company yang sama. Aku lakukan aktiviti yang sama juga, merenung luar jendela dan tidur hingga aku tiba di Kelantan.

Friday 20 November 2015

Fotografi? -Part 2

Aku hadiri talk saiful nang di UKM. Mana-mana student IPT boleh join dan free!
Aku rela redah KTM, LRT, Bas dan teksi semata-mata talk ni! Dan berseorangan. Sobs. *Tak sanggup mengajak yang lain untuk join perkara yang mereka tak minat + masing-masing busy*

Mostly ramai dah kenal,
Saiful nang = fotografer terkenal.

Di UKM.
Agak sunyi. Aku sesat kot. Masa tu hujan renyai-renyai.
Student pun kelihatan dari jauh..sorang dua je.
Hujung minggu mungkin ramai yang outing / study di bilik masing-masing.
Aku nak bertanya arah, tak jumpa mana-mana student tepi jalan waktu tu. *Kesat air mata*

Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya, walau agak sesat dalam kampus UKM tapi akhirnya aku temui juga dewan (lupa nama apa) dalam UKM tu.

Masuk dewan.
Bertemu kawan baru.
Berkawan hanya 2 jam sahaja. Sobs.
Bertukar insta tapi dia tak follow diri ni T___T
Segan nak berinteraksi dengan dia kalau hanya diri ni je terhegeh-hegeh nak berkawan dengan stranger / kawan yang baru kenali selama 2 jam.

Agak ramai yang join talk ni.
Ramai yang minat fotografi. Dengan berbekalkan tajuk "Usahawan Fotografi", kemungkinan besar seluruh pelajar dalam dewan ni ingin menjadi fotografer! Osem! Rasa kerdil pula diri ni.

Ada satu sesi soal jawab dengan saiful nang,
berdiri seorang akak untuk bertanya soalan, dia dari universiti agak terkenal terletak di Johor,
Dia sekarang sedang menyiapkan tesis untuk PHD.
Plus, dia memang minat sangat-sangat-sangat fotografi hingga dia cuma fikir, dirinya nak berkecimpung dunia fotografi sahaja setelah menamatkan tesis PHD (PHD dalam bidang kimia tak silap)
Gulp. Osemnya akak ni, sedikit perasaan jeles timbul sebab dia osem sangat. PHD kot! *nangis*
Dah la akak ni kiut macam umur 20 tahun, awet muda akak ni.

Majlis talk tamat.
Aku berjalan kaki seorang diri dan tanpa hala tuju dalam kampus UKM. Mencari tempat untuk menunggu bas dalam kampus.

. . .

Duduk berseorangan di tempat menunggu bas sambil termenung melihat suasana dalam kampus.

Aku suka bercakap seorang diri, cakap dalam hati la *eheh*

Aku reflect apa yang terjadi
Aku fikir apa negatif dan positif, ibrah yang aku dapat pada hari tersebut

. . .

Tiba-tiba terdetik suatu dalam diri aku,
aku bertanya diri sendiri,

"Kau taknak ke buat suatu kelainan untuk benda yang kau minat? Takkan kau hanya fikir fotografi bakal bagi kau duit je? Kau taknak cuba suatu kelainan? Fotografi mengubah dunia?"

Aku tahu agak tak masuk akal pertanyaan tu.
Fotografi mengubah dunia? Bagaimana?

Aku pun tak pasti macam mana dan aku masih lagi mencari jawapan untuk persoalan aku tu..

....

Fotografi? -Part 1-

Aku makin takut sejak akhir-akhir ni..
Ramai yang mula bertanya pada aku, "Ambil pakej fotografi tak?"

Aku bukannya nak promote diri
Orang yang tanya diri aku pasal ni sebenarnya tak jumpa mana-mana fotografer lagi
Kalau dia jumpa fotografer lain, konfim dia tanye fotografer lain tu
Aku ni bukannya fotografer pro, aku ni cuma ada dslr, tu je. Sape2 boleh ada dslr kalau kumpul duit. RM500 dah dapat DSLR secondhand kot.

Berbalik kepada isu..

Aku takut dengan fotografi sekarang..
Aku takut dosa aku berterusan!

Bayangkan aku shoot orang, orang share gambar dan aku turut dapat dosa.
Macam mana kalau aku mati nanti?

Banyak sangat persoalan dan dilema yang aku alami sekarang
Aku tak tahu nak share dan tanya siapa

. . .

Tuesday 10 November 2015

Kebanyakkan dari kita terlalu sayangkan orang yang berada disekeliling kita.
Rela buat apa sahaja demi orang tersayang.
Ibu bapa, family, rakan-rakan.

Bila mereka meminta tolong, jawapan yang akan diberikan..
“Yup, inshaAllah saya akan cuba menolong semampu yang mungkin.”


Bila mereka berada dalam kesusahan dan kesedihan..
Kita turut bersedih.

Terasa kondisi kita seperti berada kondisinya.
Jika dia dalam kesedihan, diri kita tidak senang duduk.
Tidak senang duduk selagi tidak dapat melihat wajahnya ceria dan bahagia!

*    *    *    *

YaAllah, permudahkan segala kerja mereka,
Jika mereka diberi dugaan olehMu,
permudahkan mereka untuk jalani ujianMu.
InshaAllah.

Wednesday 30 September 2015

Tiap minggu wajib terdetik rasa rindu pada sahabat-sahabat yang rapat diri ni.
Makin bertambah tahun, makin bertambah rakan yang rapat. :)
Sekarang bertambah tiga pula. Lain karakter, lain masa yang diluangkan bersama bila saling merindui.

Walau rakan sikit, tapi rakan yang rapat itu ramai! Sentiasa berada di samping diri ini untuk apa jua situasi.

Ada sahabat ni.
Saling berkongsi kisah dan saling memahami.
Siyesli, baru setahun mengenali secara lebih mendalam antara satu sama lain, tapi hati saling menyayangi. Ewah!

Coffe-partner. Suka ke café berdua.
Bila keluar ke KL dengannya, wajib akan belajar perkara baru.
Baru-baru ini, keluar bersama dengannya.
Tengok orang meminta sedekah, dia hulurkan duit.
Tengok orang yang sukar angkat beg menuruni tangga, terus menolong orang tersebut.
Tengok ada makcik keluar dari kereta dengan banyak barang, terus dekati makcik tersebut dan menolongnya semampu yang mungkin.

Buka mini-booknote dalam bag galas.
Tulis dalam buku, “Lain kali kau kena tolong orang dalam kesusahan. Secepat kilat bukan fikir dua kali”
Padu. Kau ni kena jadi orang baik. At least usaha untuk berubah kearah yang baik!
***

Sahabat, semuanya special!
Terlalu banyak kelebihan dan perangai masing-masing yang membuatkan aku amat meyayangi mereka.
Tak usah aku ceritakan disini mengenai kebaikan, kelebihan mereka semua.
Aku sudah pisahkan memori khas buat sahabat dalam fikiran aku.
TERLALU BANYAK UNTUK DICERITAKAN DAN DIKONGSIKAN BERSAMA.


Alhamdulillah.
Terima kasih Allah hadirkan mereka dalam hidup aku.
Terima kasih korang hadir dalam hidup aku.

:”)


Sunday 13 September 2015

:)

Aku dalam situasi orang bawah yang terpaksa tunduk dengan orang atasan.
Orang atasan menuding jari, memberi pelbagai kata yang mengatakan,
“Semua itu salah kau, kau tak usaha”
“Semua ini berkaitan dengan duit”
“Kau tak boleh buat apa-apa, terima sajalah semua ni”

Aku tak kisah semua tu.
Bahkan aku simpan dalam hati aku,
“Satu hari nanti aku akan tunjuk bahawa semua yang mereka tuding tu salah”

“Aku dah usaha, cuma gagal sekali bukan gagal selamanya”
“Duit hanya kertas yang boleh dicari, sekarang kertas itu tak bernilai dengan hasil usaha yang aku sudah jayakan ini”
“Aku boleh buat apa sahaja yang aku mahu, aku tak akan terima segalanya membuta tuli. Banyak plan yang aku boleh bina dan jadikan ianya satu realiti!”

InshaAllah, berkat doa kepada tuhan yang maha BESAR.
Segala yang terasa impossible akan bertukar menjadi POSSIBLE.

Aku tak sedih. Aku tak rasa aku putus asa.
Bahkan semua ini membuatkan aku akan terus berjalan menuju apa yang aku harapkan.
Teruskan usaha, inshaAllah..segalanya akan tercapai.

USAHA + TAWAKAL = RAHSIA KEJAYAAN SEORANG MUSLIM.

Tuesday 28 July 2015

Rombakan kabinet

Rombakan kabinet. Tan Sri Muhyiddin bukan timbalan perdana menteri lagi. Baru sebentar tadi aku menaip surat untuk ayah aku bagi permohonan pembinaan masjid baru di kawasan Gua Musang. Surat yang bertaip nama TPM. Aku mula menaip surat untuk permohonan masjid baru ini sejak aku berada di tingkatan lima. Empat tahun berlalu, peruntukan dikatakan sudah diluluskan tapi pembinaan masih lagi tidak dapat dilaksanakan. Ada pelbagai konspirasi disebalik permohonan duit untuk pembinaan masjid baru di Bandar Lama Gua Musang. Entah, aku bagitahu pada ayah, aku tak pasti pembinaan masjid baru dapat diteruskan atau tak. Abah masih lagi menulis surat untuk diberikan kepada pihak atasan dengan harapan abah dapat lihat masjid baru dapat dibina.

Fikiran aku teringat pula ketika berada di tingkatan 4. Ada pilihan raya di area sini dan TPM sebagai wakil pihak atasan pihak barisan nasional datang melawat penduduk di kawasan gua musang. Rumah aku salah satu tempat yang TPM tujui. Masih aku ingat, rumah aku dipenuhi dengan wartawan dan orang-orang barisan nasional. Mereka datang untuk melawat atuk aku yang sakit dan atuk merupakan penduduk yang sudah lama menetap di sini. Ada yang datang menghulur tangan untuk bersalaman, mereka tak kisah antara lelaki dan perempuan tapi berbeza dengan TPM. Dia hanya memberi senyuman dan hanya bersalaman dengan lelaki sahaja.

Pendekatan rakyat yang bagus. Keadaan atuk yang sakit dan hanya berdaya berbaring sahaja, TPM datang mendekati arwah atuk seperti ayah dan anak. Usap tangan atuk dengan memberi kata-kata semangat agar arwah atuk cepat sembuh. Selepas selesai bercakap dengan atuk, semua yang hadir beransur keluar dari rumah. Mata aku sempat mencuri-curi pandang TPM membisik sesuatu pada seorang lelaki, mungkin pembantu dia dan menghulurkan sampul surat kepadanya. Sesudah semuanya selesai dan semuanya pulang, lelaki tadi datang mendekati atuk aku.

“Pak cik, ini ada orang bagi sedikit sumbangan pada pakcik”.

Speechless sekejap. Aku ni selalu buat generalization terhadap pemimpin barisan nasional ni (eheh) suka menunjuk bila bagi sumbangan, tapi berbeza dengan TPM. Aku masih lagi respect dia sampai sekarang.


Agak sedih bila aku tahu mengenai berita ini. Tak patut.

Saturday 18 July 2015

Ada tetamu datang. Ibu kata itu anak saudara arwah atuk.
Abang hanya melayan tetamu itu dengan sepatah dua soalan dan jawapan.
Ibu asyik berkata, "Jangan layan sangat dia tu, ada masalah sikit tu.." (a.k.a masalah dari segi mental, mungkin pemikiran yang lambat pick up or masih berperangai kebudak-budakan.)
Umurnya sudah mencecah 30-an.
Tak bekerja.

Kakak yang baru tiba di rumah bersama husbandnya disapa oleh tetamu itu,
"Kak, takde duit raya ke?"
Padahal umur akak baru 24 tahun & wajah kebudakan lagi.
Mungkin akak yang sudah ada husband, anggapannya akak sudah tua. eheh.

Terfikir dengan kata-kata mak, "Dia tak bekerja"

Ada beberapa individu yang kurang bernasib baik, kesempitan wang dalam hidupnya
Ada orang menuding jari mengatakan, "Dah masa muda malas belajar, malas usaha"
Tapi, kata-kata tu tak patut diperkatakan

Mungkin mereka memiliki masalah dalam pembelajaran?
Atau tak dapat usaha lebih kerana mereka tak dapat bersekolah kerana kesempitan hidup ketika muda
atau mereka yang tak bekerja kerana memiliki masalah mental seperti situasi tetamu ini?
Mungkin juga kesempitan wang kerana diberi pendedahan secara tradisional, teruskan berkhidmat dalam kerjaya berkebun dan berladang yang memberi pulangan yang tidak terlalu banyak (kini, taraf hidup makin tinggi)
Siapa kita ingin menuding jari atau ingin judge kalau kita tak berada dalam situasi mereka?

Masih ramai lagi yang kurang bernasib baik dan hidup yang masih kekurangan wang
Bahkan, ada juga individu yang memiliki rumah besar tapi duit sering "menyepi" kerana taraf hidup yang makin tinggi

Kehidupan kita pula bagaimana ye?
Bersyukurlah apa yang kita miliki sekarang.

Tuesday 23 June 2015

Cantik

Tiba-tiba hati ingin berbicara mengenai kecantikan.
Zaman yang serba moden dan teknologi yang memudahkan manusia capture segala perkara dalam kehidupan mereka menambahkan pandangan kita terhadap kejadian Allah SWT yang kebanyakkannya indah-indah belaka! Serius, mereka yang berada di dunia alam maya majoritinya memiliki wajah yang amat cantik ditambah pula selfie dengan gaya yang cute. Aduh! Wanita pun turut jatuh hati dengan keindahan wajah mereka. Eh?


Baru-baru ini  diri dipelawakan untuk menjadi grafik designer oleh sebuah syarikat skincare product. Segala yang perlu ditekankan dalam syarikat ini ialah kecantikan! Semestinya! Bagaimana ingin mempromosikan suatu yang mengetengahkan unsur kecantikan jika mereka tak tekankan untuk iklan syarikat mereka kelihatan cantik? Eheh. *ayat berbelit eh*

Bercakap mengenai kecantikan.
Lain manusia lain penglihatan mereka mengenai definisi cantik.
Ada yang menguarkan-uarkan mereka cantik tapi hakikat dimata manusia lain mereka tak cantik.
Erti kata lain, sememangnya boleh buat gaduh jika ingin berdebat hal kecantikan ini..

Cantik itu kan subjektif - kata-kata yang sering diulang ketika menuntut di KMB

Kadangkala kecantikan itu sendiri di-create oleh media.
Iyelah, cantik itu berkulit putih gebu, mulus, kurus, kulit putih kemerahan, berwajah arab atau mat saleh, berwajah korea, cina atau jepun atau apa sajalah!

Oh. Tapi tak semestinya.
Kalau tanya peminat korea, semestinya mereka berkata, wajah korea itulah paling cantik!
Jika ditanya peminat mat saleh, semestinya mat saleh itulah yang paling cantik!
Jika ditanya peminat Hindustan, of course la, berwajah Hindustan itulah sangat cantik!

Yang pasti, paling memberi efek ialah, wajah mat saleh
Sejak dulu lagi mat saleh paling conquer bab-bab media, sebab itulah manusia, sesiapa sahaja berwajah mat saleh itu memang lawo dan cun.
Cuba sorang mat saleh datang kat kita, pick je mana-mana mat saleh, semestinya kita cakap mat saleh tu cantik. Hakikatnya kalau ditanya mat saleh yang lain, mereka berasakan si mat saleh random tu mukanya biasa-biasa saja. Emm?

Haish. Sukar untuk berborak hal kecantikan.
Banyak jenis kecantikan yang sukar untuk ditafsirkan!
Dan kita juga penat untuk bergaduh hal-hal cantik.
Malah, ada yang jenis manusia lihat sesiapa sahaja mereka memujinya, “Cantik!”
Hm. Ambo pun takleh bice hal manusio gini, susoh sangat nok kecek hal ni, ado jugok jenis suko muji, tak tahu la pujie tu betul dok. Kalu nak ambik hati pun, jangelah denge pujie, kelak bade empunyo yang keno puji tu merano dek perasae dale diri raso come sepanje hayat banding nge oghe lain. Doso tau dok?

Kadangkala kecantikan itu memberi padah kepada diri.
Kadangkala kecantikan itu memberi kesan positif kepada diri.
Semuanya ada pros and cons, diri sendirilah pandai control ye.

Hm.
Borak kosong di blog
Tak tahu apa tujuannya tulis semua ni.

Err.

Cantik?
Semuanya cantik!
Cuma cantik itu berbeza
Ok. Full stop.

*Kerja-kerja-kerja-kerja*

Monday 8 June 2015

9 June 2015

Cinta pertama tetap dihati selamanya.Sukar nak buang perasaan ni.
Berada di mana-mana perasaan itu bermain di minda.
Gambarannya ada di mana-mana.
Dilaman sosial, di kaca tv, di persekitaran rumah / kolej, mahupun dalam rumah sewa. Err..

Agak kecewa.
Tapi, cuba untuk menepis perasaan ini.
Cuba untuk rawat hati dengan memaksa perasaan untuk mencintai yang lain.
Ibu juga sering menyebutnya di mana-mana, ibu yang memberi motivasi agar diri ini mencintai yang lain, inshaAllah, jauh lebih baik dari cinta pertama
Bahkan, ada beberapa buku yang sudah khatam sebelum ini, memberi motivasi yang lebih tinggi untuk meneruskan perjalanan yang berliku ini

Hati perlahan-lahan mencintai dunia lain.
Tapi, hati tetap juga teringatkan cinta pertama.


Cinta terhadap dunia haiwan berbanding dunia manusia. Hm.

Ok. Luah segala isi hati.
Tiba-tiba hati meronta-ronta..

"BAYANGKAN BUKA TV, TENGOK CHANNEL "ANIMAL PLANET", ADA RANCANGAN YANG AMAT BEST! BERKAITAN DENGAN T-REX AUTOPSY! MACAM REAL! DAN RANCANGAN YANG SERING BERADA DI KACA TV ANIMAL PLANET ITU MERUPAKAN STUDENT / LECTURER DARI TOP UNIVERSITY DI UK YANG PERNAH MENAWARKAN DIRI INI DALAM BIDANG BIOVETERINARY SCIENCE. LULUH HATI. UNIVERSITY HEBAT KOT. CINTA PERTAMA TETAP DISANJUNG. SOBS"

Ok. Lawak hambar.
Ini luahan cinta kepada dunia haiwan *huhuhu*
Cinta pertama untuk dunia vet....
InshaAllah, sedang beralih untuk lupakan vet dan meneruskan bidang medik berkaitan manusia. Eheh.

Tapi, serius. Hati sering teringatkan offer letter tahun lepas.
InshaAllah, ada hikmah kenapa diri ini berada di jalan ini.
Teruskan langkah hingga 5th year ye.

P/s : agak stress sikit. Lusa exam. Final exam.. Doakan yang terbaik untuk semua pelajar medik! Allah sentiasa bersama orang-orang yang berjihad dijalannya, inshaAllah!

P/s lagi : buku yang memberi motivasi kepada diri ini bagi meneruskan dunia medik ialah buku diagnosis 1, diagnosis 2, prognosis dan biohazard.

P/s kepada diri sendiri : Dah, stop cakap pasal vet. -..-''

Friday 5 June 2015

ARANOYAS

Ok. Kembali kepada blog lama.
Rasanya menulis merupakan salah satu cara yang paling terbaik meluah perasaan.
Meluah di tempat yang lebih tertutup, bukannya di tempat "awam" alam maya a.k.a laman sosial.

No need to say "sayonara"
"Hi blog! I'm here for you!!"


*     *     *    *

Senyum!

Thursday 26 February 2015

Sayonara

Post terakhir di blog ni.
Pesanan terakhir untuk diri sendiri & doa untuk yang lain,
"Moga terus berubah untuk kearah lebih baik, menjadi hamba Allah yang hebat"
InshaAllah.

Salam :)

Thursday 19 February 2015

SOAL “KEJADIAN TUHAN DAN KEJADIAN LAIN?”

Terfikir kritikal “stuff”.
Teringat kata-kata seorang pendakwah bebas ketika sertai event dakwah.

Soalan yang difikir dan agak kritikal ialah, “Bukan ke tak adil, orang yang mati dahulu, contohnya, beribu tahun dahulu, mendapat balasan dalam kubur lebih lama? Orang yang mati hampir dengan hari kiamat mendapat balasan kejap je? Mana aci?”

Teringat pula kata-kata pendakwah bebas. Bagaimana jawapan kepada atheist mengenai “malaikat hanya satu, bagaimana pula “dia” boleh mencabut nyawa ramai orang dalam satu masa?”

Persoalan itu dijawab dahulu dengan jawapan perihal “kejadian tuhan”.
Agama kristian mempercayai, “Tuhan itu ada permulaannya. Tak pasti pula mengenai bagaimana kejadiannya, inshaAllah saya akan mencari jawapannya nanti.”
Islam pula, mempercayai, “Tuhan itu tiada permulaan dan pengakhirannya”. Jadi, dalam islam, tiada lagi persoalan “Bagaimana tuhan diciptakan?”

Hakikat sebenar, “masa” itu juga diciptakan oleh Allah.
Jadi, mana mungkin “Allah SWT” ada mula dan akhir?
Ada mengenai konsep saintifik, panjang lebar “explanation” mengenai  hal tersebut. Konsep “kelajuan = 0 masa”. InshaAllah, akan saya kongsikan dalam penulisan yang lain. Explaination saintifik mengenai konsep “tiada masa” ini, sesuai dibahaskan dengan para atheist yang gemar bertanya persoalan yang memerlukan akal / logic / saintifik.

Di alam lain, dapat disamakan dengan konsep tiada masa.
Kerana di dunia ini, “Allah mencipta masa tersebut” untuk manusia.
Jadi, persoalan mengenai, bagaimana malaikat mencabut nyawa ramai manusia dalam satu masa, ada logiknya di alam lain itu “tiada masa”. Adakah ada persoalan lagi, “bagaimana malaikat boleh melakukan kerjanya dengan cepat dan dengan bilangan yang banyak?”. Usah fikir soal masa kerana di alam lain itu tiada masa! Hanya di dunia sahaja, waktu itu berputar dan terus “berjalan”. Allah SWT maha agung, Dialah yang mengatur kejadian yang hebat ini!

Jadi, berbalik persoalan yang saya fikir sebelum ini.. “Mana adil orang yang mati terlebih dahulu, mendapat balasan di alam kubur lebih awal dari yang lain?”
Jawapan yang sama seperti persoalan malaikat tersebut.
Jika di alam lain, tiada masa..tiada lagi konsep, “Dia mendapat balasan dalam kubur lebih lama dari kau”.
Allah itu maha adil kan?
Inilah jawapannya!
Sejak mendengar speech yang awesome dari pendakwah bebas ini, ibarat dia “menyemarakkan” lagi keinginan seseorang untuk menuntut ilmu dalam soal ini ; dakwah, logic, saintifik, perbandingan agama lain.
Sejak mendengar speech dari beliau juga, dapat menguat keyakinan kepada Allah SWT.

Ditambah pula dengan keyakinan,
“Allah itu yang menciptakan masa. Jika kita “laburkan” masa kita untuk jalan Allah dan melakukan ibadah sunat, inshaAllah keberkatan masa itu ada. Mungkin juga kita akan rasakan 24jam itu amat lama dan dapat menyiapkan kerja-kerja yang banyak.”

Makin yakin dengan islam.
Benarlah kata-kata beliau..
Walaupun kita sudah berstatus “islam”, teruskan juga mencari kebenaran mengenai islam.
Bukan sekadar melakukan suruhan / amalan yang diajar oleh keluarga tanpa memikirkan soal, kenapa kita perlu lakukan semua ni?

Teruskan mencari kebenaran. Jangan berhenti di “pertengahan jalan”.

Saturday 31 January 2015

Makin menjauhi

Membaca semula status di facebook yang pernah "di-post" suatu ketika dahulu, masih menuntut di Kolej Maha Busy.
Kebanyakan status itu berbaur islamik, mempunyai unsur mengingati Allah dan diri dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai dugaan.

Dan sekarang?

Semua itu makin berkurangan.

Busy dengan urusan dunia, memikirkan soal medik dan diri berada dalam kondisi + zon selesa.
Mengingati Allah itu makin lusuh dalam hati!

Rindu dengan situasi pelbagai dugaan itu.
Walau penuh dengan perit tapi hati tetap basah dengan mengingati Allah.
Benarlah, manusia mudah sahaja mengingati tuhannya ketika dalam keadaan yang susah dan menjauhi Allah ketika dalam kesenangan.

Jarang sekali mengingatiNya dalam keadaan yang senang!
Walau gembira dan mengucap, "Alhamdulillah" tapi hati tetap memikirkan soal dunia dan soal kepentingan diri sahaja.

Biarlah hidup di dunia ini penuh dugaan,
Agar diri selalu dekatkan diri kepada tuhan yang maha esa.

Pahit di dunia tak mengapa, biarlah kita merasa kemanisan di akhirat kelak.

:(

Monday 12 January 2015

Sejarah, suatu ketika dahulu

Tonton video klip “Bila tiba – ungu”, OST Filem Sang Kiai. Tak pasti filem ini mengenai apa dan bagaimana jalan ceritanya tapi apa yang dilihat melalui klip video lagu dari band ungu ini, filem “Sang Kiai” berkisarkan kisah si isteri ditinggalkan oleh suami untuk berperang ketika zaman jepun. Teringat perbualan dengan ibu tengahari tadi..



Dua minggu berlalu selepas banjir yang “hadir” di rumah kami. Keadaan rumah masih lagi belum bersih sepenuhnya lagi. Ada beberapa barangan yang masih belum dicuci dan dipenuhi dengan lumpur. Barangan yang belum dicuci itu merupakan barangan antik dan keadaan barangan itu memang sangat unik. Ada buah yang berbentuk pelik dan ibu bagitahu, buah tersebut merupakan ubat dan hanya dapat dijumpai terapung di sungai. Tak pasti buah apa dan memang sangat unik keadaannya. Walau ditenggelami dan diselaputi lumpur selama dua minggu, buah itu masih lagi dalam keadaan baik. Ada seterika yang diperbuat dari tembaga, seterika yang lama dan untuk menggunakan seterika tersebut kita perlu meletakkan arang untuk memanaskannya. Ada tempurung kelapa yang dijadikan sebagai bekas, sangat unik dan cantik! Dan pelbagai barangan yang lain.

Berbual pelbagai tajuk dengan ibu mengenai barangan antik yang berada di rumah kami. Barangan tersebut merupakan peninggalan arwah nenek dan atuk. Selepas banjir surut, banyak barangan yang dikeluarkan dari almari lama dan banyak barangan yang tak pernah lihat sebelum ini kami sekeluarga berpeluang untuk menerokai barangan tersebut. Eheh. Ada juga gelas yang arwah atuk dan nenek beli ketika tahun kemerdekaan. Jelas terpapar dicetak diatas gelas tersebut, “MERDEKA 1957, BEBAS MALAYA”.

Dan ibu mula menceritakan sedikit mengenai latar belakang arwah nenek dan atuk,
“Arwah nenek sebenarnya dah kahwin sebelum mengahwini atuk.”
“Oh…emm..kenapa dengan suami nenek mak? Meninggal ke?”
“Haah..meninggal, selepas tu barulah kahwin dengan atuk..”
“Kenapa suami nenek meninggal, ma?”
“Zaman jepun dulu, suami nenek dikerahkan oleh askar jepun untuk ke Burma. Suami nenek meninggal ketika berperang kat sana”
Dalam fikiran mula terbayang…ibarat dalam movie pula kisah ni. -.-‘’
“Ma tahu apa lagi mengenai kisah zaman dulu?”
“Banyak nenek bagitahu kat ma..nenek ingat satu-satu apa yang terjadi, jam dan haribulan. Tapi, mak dah lupa apa yang nenek pernah ceritakan kat ma dulu..”

Sejarah sememangnya berharga dan sejarah itu makin luput ditelan zaman. Hanya arwah nenek yang ingat spesifik untuk setiap peristiwa terjadi suatu masa dahulu (untuk orang tempatan di Gua Musang). Nenek yang alami semua itu, semestinya kisah yang dialami itu meninggalkan luka yang besar dalam hidup nenek.

Teringat pula mengenai kubur dalam masjid di Masjid Razaleigh Gua Musang. Sebenarnya Masjid tersebut memiliki keluasan yang kecil tapi masjid terpaksa dibina diatas kubur untuk tujuan memperluaskan masjid. Kubur itu sebenarnya berada di sebelah masjid dan ianya milik ibu saudara arwah nenek.

Ibu menceritakan serba sedikit mengenai kejadian yang berlaku yang menyebabkan kematian arwah ibu saudara nenek. Di sebuah rumah yang besar (pada masa sekarang rumah itu bertempat di hadapan masjid), banyak keluarga yang tinggal dalam rumah tersebut. Keluarga yang mempunyai hubungan yang terdekat akan tinggal bersama, mungkin untuk tujuan keselamatan pada masa dahulu. Rumah tersebut dikepung oleh askar komunis kerana mereka ingin membunuh ketua rumah tersebut, yang juga merupakan ketua kampung. Askar komunis hanya menembak secara “randomly” dan ada peluru tersasar pada ibu saudara nenek. Nenek merupakan salah seorang yang melihat kejadian tersebut dan yang paling menyayat hati, ibu saudaranya mengandung ketika dibunuh oleh askar komunis. Arwah nenek sering mengalir air mata bila menceritakan peristiwa ini kepada ibu. Kisah yang memang akan meninggalkan luka yang besar dalam hidup seseorang.

Tak pasti mengenai kisah yang betul-betul spesifik mengenai apa yang berlaku ketika waktu dahulu kala. Ibu juga sering bagitahu, hanya arwah nenek yang ingat banyak peristiwa yang berdarah pada masa dahulu. Kini, memang sukar untuk mencari “orang lama” dan mengharapkan dari mereka untuk menceritakan kembali apa yang berlaku. Banyak juga wartawan yang mula datang ke sini untuk melihat kubur dalam masjid dan mengharapkan kisah dari keluarga kami tapi…kisah itu tidak sempurna seperti yang nenek ceritakan suatu masa dahulu. Hanya serba sedikit sahaja ibu dapat kongsikan mengenai apa yang nenek pernah bagitahu kepada ibu ketika nenek masih lagi sihat.

Ada juga menjumpai gambar lama arwah atuk dan nenek. Gambar lama yang masih lagi berwarna hitam dan putih. Sekali pandang gambar tersebut ibarat menyimpan seribu misteri dan memori. Ada juga gambar lama arwah atuk yang berpakaian askar. Apabila tenung gambar itu untuk beberapa saat sahaja, gambar itu seolah-olah ingin menceritakan sesuatu apa yang “dia” pernah alami.

Arwah atuk..ketika dia sakit, keadaan memorinya tidak stabil. Kadangkala dia berasakan dirinya berada di zaman Jepun. Kadangkala dia menjerit dalam rumah, dengan kata-kata yang marah terhadap seseorang dan “orang” itu merupakan “orang asli”, tak pasti kenapa. Mungkin dia pernah bertembung dengan orang asli dalam hutan ketika zaman peperangan dahulu. Ini benar-benar berlaku selama kami sekeluarga menjaga arwah atuk semasa dia sakit. Kadangkala dia akan menunjukkan memek muka yang bengis dan seolah-olah marah..dia menjerit dalam rumah. Ingin keluar dari rumah untuk berperang dengan askar jepun katanya. Nah, luka lama masih lagi tersimpan rapi dalam diri arwah datuk.

Bayangkan kita berada dalam situasi mereka?
Semestinya luka yang amat besar akan ditinggalkan dalam diri kita. Melihat dengan mata sendiri, orang yang disayangi mati, dibunuh oleh musuh?


….

Monday 5 January 2015

Tragedi


Tiga minggu cuti semesta. Gembira, yup! Bayangkan pulang rumah, dapat peluk adik bongsu kesayangan, dapat mendengar leteran mak, dapat tidur katil empuk di bilik, dapat mengasuh anak saudara sulung yang comel, dapat tonton rancangan kegemaran terutama spongebob selepas berbulan tak menonton TV dan pelbagai fantasi yang lain bermain dalam fikiran. Memang tak sabar untuk pulang ke negeri terchenta! Luangkan satu hari di melaka dan keesokkan hari terus pulang ke Kelantan. Dah lama kami (sahabat-sahabat saya) bercadang untuk makan angin, memandang kami semua cuti, ini peluang keemasan untuk meluangkan masa bersama.

Hari pertama pulang. Sedang terlena di pelukan katil yang empuk ketika hujan lebat yang turun, tiba-tiba lampu terpadam! Riuh penghuni rumah 184 A. Rupa-rupanya bekalan elektrik terputus ekoran bandar lama berdekatan dengan rumah sudah ditenggelami air. Hati hanya runsing seketika, dalam hati hanya berkata, "Sekejap je takde letrik". Malam tiba, ibu mengajak dua keluarga untuk bermalam di rumah kami. Rumah mereka sudah ditenggelami air. Kami tidak runsing sedikit pun mengenai banjir akan "hadir" di rumah kami kerana sebelum ini tak pernah sekali pun air banjir berani mendekati rumah ini. Eheh. Bekalan elektrik masih terputus, kami hanya tidur dalam gelap dan kesejukan.

Hari kedua pulang. Selepas menunaikan solat subuh, badan cuba merehatkan diri di atas kerusi empuk. Tiba-tiba terdengar suara, "Siapa yang kat atas tu! Turun semua..air dah masuk dalam rumah!". Suara ayah mula kedengaran dari tingkat bawah.

Gulp. Banjir?

Kaki berlari menuju ke arah suara tersebut. Mata terkaku melihat air memasuki rumah. Semua ahli keluarga sibuk membawa barangan untuk diletakkan di tempat yang selamat. Hingga pukul 10 pagi kami masih sibuk mengangkat barangan. Air makin tinggi. Dari buku lali, meningkat ke paras lutut dan akan meningkat pula ke paras peha! Kami sekeluarga masing-masing hanya berasakan, level air yang meningkat dalam rumah paling tinggi pun paras lutut. Tapi, sekarang? Air bertambah tinggi dan arus air bertambah kuat memasuki rumah. Ibu berkali-kali ucap kata-kata ini, "Selama hidup ma..ma tak pernah lihat banjir seteruk ni". Ibu merupakan orang tempatan dan rumah yang kami tinggal merupakan peninggalan atuk dan nenek (Ibu dan ayah angkat Ibu).

Air makin meningkat. Kini tiba ke paras pinggang.
Adik-adik lelaki yang lain berehat seketika selepas kepenatan mengangkat barang.
Tangan yang keletihan cuba untuk memegang almari berdekatan dalam rumah.
Tiba-tiba..almari tersebut bergerak. Almari yang berat itu dah mula terapung dalam air. Kami adik beradik sibuk mengangkat barangan dalam almari itu pula. Terlalu banyak barangan kaca dalam almari. Risau barang kaca akan bersepah dalam rumah selepas banjir surut, kami mencuba sedaya upaya untuk mengangkat semua barangan yang masih tersimpan rapi. Tiba-tiba peti yang berdekatan pula bergerak dan dilihat mula bergoyang untuk terjatuh. Kami cuba melarikan diri tapi keadaan yang sukar, kami hanya berada di tempat yang statik.

Bunyi yang kuat kedengaran. Peti tersebut jatuh serta barangan kaca yang tersusun di atas peti juga turut jatuh. Alhamdulillah, adik lelaki semuanya dalam keadaan yang baik. Cuma, kami risaukan kaca yang berselerakan dalam air yang keruh, sukar untuk kami melalui kawasan tersebut yang mungkin akan menyebabkan kaki terpijak di atas kaca-kaca. Almari yang lain juga mula terapung. Ibu menjerit supaya kami menyelamatkan diri. Almari berdekatan semuanya makin bergoyang dan mula terjatuh.

Kami selamatkan diri, berlari ke tingkat dua rumah.
Disitulah kami berdiam diri, berdoa dan berharap agar semuanya selamat.
Ibu dan ayah risau air akan terus meningkat. Di mana kami nak lari jika air terus meningkat?

Dalam gelap, berharap dan berdoa.
Air makin meningkat. Ketika itu air sudah melepasi paras 160cm.
Lihat suasana di luar tingkat. Banyak bot penyelamat tiba untuk selamatkan penduduk kampung yang terperangkap dalam banjir. Di rumah mereka, air sudah pun mencapai hingga ke paras bumbung.

Malam. Gelap dan bertemankan lilin. Bekalan air makin berkurangan.
Mujur ada stok makanan yang ibu selamatkan di tingkat bawah, makanan itu dijadikan alas perut kami. Air masih belum surut. Dalam gelap, tiba-tiba bau minyak hadir dalam rumah kami. Risau juga air yang kotor bercampur dengan minyak akan membahayakan rumah.

12 tengah malam. Tiba-tiba ada bunyi seolah-olah ada seseorang memasuki rumah kami. Adik lelaki yang belum melelapkan mata pergi kearah bunyi tersebut. Yup, betul-betul ada manusia di tangga rumah kami. Dia membawa bungkusan makanan, lilin dan juga powerbank. Eheh. Powerbank? Gembira hati ibu sebentar. Kami gusar jika phone kekurangan bateri, bagaimana kami ingin menghubungi penyelamat jika ada berlaku apa-apa yang merbahaya di rumah kami. Yang membawa bantuan itu merupakan sahabat kakak, alhamdulillah. Makanan yang diberi itu dijadikan sebagai alas perut kami pada keesokkan pagi. (masih bermain dalam fikiran kami, bagaimana dia (datang memberi bantuan) melalui kawasan rumah kami yang penuh dengan barangan terapung dan paras air yang tinggi? Mungkin dia berenang kot?)

Alhamdulillah. 100% air surut keesokkan pagi. Terkejut mata melihat dengan keadaan rumah di tingkat bawah. Majoriti semuanya musnah. Dalam rumah dipenuhi lumpur. Di luar rumah dipenuhi dengan sampah. Bau busuk, lumpur dan minyak bercampur. Ibu dan ayah redha dengan semua yang berlaku.

Dalam kesedihan dan rintihan ibu ayah mengenai rumah kami, ada yang lebih meyayat hati. Ramai yang kehilangan tempat tinggal. Kami sekeluarga yang hanya mengharapkan duit sewa rumah, masing-masing penyewa juga sukar untuk memberi wang kepada kami kerana keadaan mereka juga seperti kami. Banyak kerosakan dan barangan jualan mereka musnah.

13 hari dalam bergelap, tanpa elektrik. Siapa sangka, diri ini dan kami sekeluarga survive? Eheh.

Pelbagai kisah yang meyayat hati. Kaki melangkah ke sebuah perkampungan ditemani adik lelaki.
Benar, keadaan kampung yang banyak kerosakan dan banyak yang kehilangan tempat tinggal. Sedih. Siapa yang tidak sedih kehilangan tempat tinggal? Dua minggu cuti semesta dihabiskan masa bersama keluarga, kami bersama-sama membersihkan rumah yang dipenuhi dengan lumpur. "Permandangan" dalam rumah kami bertukar permandangan yang kosong. Hampir semua perabot musnah.

Ada hikmah disebalik kejadian ini. Ibu ayah tabah hadapi. Yang amat tabah, keluarga-keluarga kehilangan tempat tinggal atau kehilangan keluarga tersayang. Arus air banjir benar-benar deras. Alhamdulillah, walau rumah dilanda banjir tapi kami masih memiliki tempat tinggal dan juga semua ahli keluarga kami selamat :)

Ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku.
Ambil ibrah dan pengajaran dengan kejadian ini.
Moga ia akan membentuk para muslim untuk menjadi lebih kuat dan gagah dari segi rohani dan jasmani. inshaAllah.



More pictures --> roseofjannah.blogspot.com