Monday 12 January 2015

Sejarah, suatu ketika dahulu

Tonton video klip “Bila tiba – ungu”, OST Filem Sang Kiai. Tak pasti filem ini mengenai apa dan bagaimana jalan ceritanya tapi apa yang dilihat melalui klip video lagu dari band ungu ini, filem “Sang Kiai” berkisarkan kisah si isteri ditinggalkan oleh suami untuk berperang ketika zaman jepun. Teringat perbualan dengan ibu tengahari tadi..



Dua minggu berlalu selepas banjir yang “hadir” di rumah kami. Keadaan rumah masih lagi belum bersih sepenuhnya lagi. Ada beberapa barangan yang masih belum dicuci dan dipenuhi dengan lumpur. Barangan yang belum dicuci itu merupakan barangan antik dan keadaan barangan itu memang sangat unik. Ada buah yang berbentuk pelik dan ibu bagitahu, buah tersebut merupakan ubat dan hanya dapat dijumpai terapung di sungai. Tak pasti buah apa dan memang sangat unik keadaannya. Walau ditenggelami dan diselaputi lumpur selama dua minggu, buah itu masih lagi dalam keadaan baik. Ada seterika yang diperbuat dari tembaga, seterika yang lama dan untuk menggunakan seterika tersebut kita perlu meletakkan arang untuk memanaskannya. Ada tempurung kelapa yang dijadikan sebagai bekas, sangat unik dan cantik! Dan pelbagai barangan yang lain.

Berbual pelbagai tajuk dengan ibu mengenai barangan antik yang berada di rumah kami. Barangan tersebut merupakan peninggalan arwah nenek dan atuk. Selepas banjir surut, banyak barangan yang dikeluarkan dari almari lama dan banyak barangan yang tak pernah lihat sebelum ini kami sekeluarga berpeluang untuk menerokai barangan tersebut. Eheh. Ada juga gelas yang arwah atuk dan nenek beli ketika tahun kemerdekaan. Jelas terpapar dicetak diatas gelas tersebut, “MERDEKA 1957, BEBAS MALAYA”.

Dan ibu mula menceritakan sedikit mengenai latar belakang arwah nenek dan atuk,
“Arwah nenek sebenarnya dah kahwin sebelum mengahwini atuk.”
“Oh…emm..kenapa dengan suami nenek mak? Meninggal ke?”
“Haah..meninggal, selepas tu barulah kahwin dengan atuk..”
“Kenapa suami nenek meninggal, ma?”
“Zaman jepun dulu, suami nenek dikerahkan oleh askar jepun untuk ke Burma. Suami nenek meninggal ketika berperang kat sana”
Dalam fikiran mula terbayang…ibarat dalam movie pula kisah ni. -.-‘’
“Ma tahu apa lagi mengenai kisah zaman dulu?”
“Banyak nenek bagitahu kat ma..nenek ingat satu-satu apa yang terjadi, jam dan haribulan. Tapi, mak dah lupa apa yang nenek pernah ceritakan kat ma dulu..”

Sejarah sememangnya berharga dan sejarah itu makin luput ditelan zaman. Hanya arwah nenek yang ingat spesifik untuk setiap peristiwa terjadi suatu masa dahulu (untuk orang tempatan di Gua Musang). Nenek yang alami semua itu, semestinya kisah yang dialami itu meninggalkan luka yang besar dalam hidup nenek.

Teringat pula mengenai kubur dalam masjid di Masjid Razaleigh Gua Musang. Sebenarnya Masjid tersebut memiliki keluasan yang kecil tapi masjid terpaksa dibina diatas kubur untuk tujuan memperluaskan masjid. Kubur itu sebenarnya berada di sebelah masjid dan ianya milik ibu saudara arwah nenek.

Ibu menceritakan serba sedikit mengenai kejadian yang berlaku yang menyebabkan kematian arwah ibu saudara nenek. Di sebuah rumah yang besar (pada masa sekarang rumah itu bertempat di hadapan masjid), banyak keluarga yang tinggal dalam rumah tersebut. Keluarga yang mempunyai hubungan yang terdekat akan tinggal bersama, mungkin untuk tujuan keselamatan pada masa dahulu. Rumah tersebut dikepung oleh askar komunis kerana mereka ingin membunuh ketua rumah tersebut, yang juga merupakan ketua kampung. Askar komunis hanya menembak secara “randomly” dan ada peluru tersasar pada ibu saudara nenek. Nenek merupakan salah seorang yang melihat kejadian tersebut dan yang paling menyayat hati, ibu saudaranya mengandung ketika dibunuh oleh askar komunis. Arwah nenek sering mengalir air mata bila menceritakan peristiwa ini kepada ibu. Kisah yang memang akan meninggalkan luka yang besar dalam hidup seseorang.

Tak pasti mengenai kisah yang betul-betul spesifik mengenai apa yang berlaku ketika waktu dahulu kala. Ibu juga sering bagitahu, hanya arwah nenek yang ingat banyak peristiwa yang berdarah pada masa dahulu. Kini, memang sukar untuk mencari “orang lama” dan mengharapkan dari mereka untuk menceritakan kembali apa yang berlaku. Banyak juga wartawan yang mula datang ke sini untuk melihat kubur dalam masjid dan mengharapkan kisah dari keluarga kami tapi…kisah itu tidak sempurna seperti yang nenek ceritakan suatu masa dahulu. Hanya serba sedikit sahaja ibu dapat kongsikan mengenai apa yang nenek pernah bagitahu kepada ibu ketika nenek masih lagi sihat.

Ada juga menjumpai gambar lama arwah atuk dan nenek. Gambar lama yang masih lagi berwarna hitam dan putih. Sekali pandang gambar tersebut ibarat menyimpan seribu misteri dan memori. Ada juga gambar lama arwah atuk yang berpakaian askar. Apabila tenung gambar itu untuk beberapa saat sahaja, gambar itu seolah-olah ingin menceritakan sesuatu apa yang “dia” pernah alami.

Arwah atuk..ketika dia sakit, keadaan memorinya tidak stabil. Kadangkala dia berasakan dirinya berada di zaman Jepun. Kadangkala dia menjerit dalam rumah, dengan kata-kata yang marah terhadap seseorang dan “orang” itu merupakan “orang asli”, tak pasti kenapa. Mungkin dia pernah bertembung dengan orang asli dalam hutan ketika zaman peperangan dahulu. Ini benar-benar berlaku selama kami sekeluarga menjaga arwah atuk semasa dia sakit. Kadangkala dia akan menunjukkan memek muka yang bengis dan seolah-olah marah..dia menjerit dalam rumah. Ingin keluar dari rumah untuk berperang dengan askar jepun katanya. Nah, luka lama masih lagi tersimpan rapi dalam diri arwah datuk.

Bayangkan kita berada dalam situasi mereka?
Semestinya luka yang amat besar akan ditinggalkan dalam diri kita. Melihat dengan mata sendiri, orang yang disayangi mati, dibunuh oleh musuh?


….

No comments:

Post a Comment