Monday 5 January 2015

Tragedi


Tiga minggu cuti semesta. Gembira, yup! Bayangkan pulang rumah, dapat peluk adik bongsu kesayangan, dapat mendengar leteran mak, dapat tidur katil empuk di bilik, dapat mengasuh anak saudara sulung yang comel, dapat tonton rancangan kegemaran terutama spongebob selepas berbulan tak menonton TV dan pelbagai fantasi yang lain bermain dalam fikiran. Memang tak sabar untuk pulang ke negeri terchenta! Luangkan satu hari di melaka dan keesokkan hari terus pulang ke Kelantan. Dah lama kami (sahabat-sahabat saya) bercadang untuk makan angin, memandang kami semua cuti, ini peluang keemasan untuk meluangkan masa bersama.

Hari pertama pulang. Sedang terlena di pelukan katil yang empuk ketika hujan lebat yang turun, tiba-tiba lampu terpadam! Riuh penghuni rumah 184 A. Rupa-rupanya bekalan elektrik terputus ekoran bandar lama berdekatan dengan rumah sudah ditenggelami air. Hati hanya runsing seketika, dalam hati hanya berkata, "Sekejap je takde letrik". Malam tiba, ibu mengajak dua keluarga untuk bermalam di rumah kami. Rumah mereka sudah ditenggelami air. Kami tidak runsing sedikit pun mengenai banjir akan "hadir" di rumah kami kerana sebelum ini tak pernah sekali pun air banjir berani mendekati rumah ini. Eheh. Bekalan elektrik masih terputus, kami hanya tidur dalam gelap dan kesejukan.

Hari kedua pulang. Selepas menunaikan solat subuh, badan cuba merehatkan diri di atas kerusi empuk. Tiba-tiba terdengar suara, "Siapa yang kat atas tu! Turun semua..air dah masuk dalam rumah!". Suara ayah mula kedengaran dari tingkat bawah.

Gulp. Banjir?

Kaki berlari menuju ke arah suara tersebut. Mata terkaku melihat air memasuki rumah. Semua ahli keluarga sibuk membawa barangan untuk diletakkan di tempat yang selamat. Hingga pukul 10 pagi kami masih sibuk mengangkat barangan. Air makin tinggi. Dari buku lali, meningkat ke paras lutut dan akan meningkat pula ke paras peha! Kami sekeluarga masing-masing hanya berasakan, level air yang meningkat dalam rumah paling tinggi pun paras lutut. Tapi, sekarang? Air bertambah tinggi dan arus air bertambah kuat memasuki rumah. Ibu berkali-kali ucap kata-kata ini, "Selama hidup ma..ma tak pernah lihat banjir seteruk ni". Ibu merupakan orang tempatan dan rumah yang kami tinggal merupakan peninggalan atuk dan nenek (Ibu dan ayah angkat Ibu).

Air makin meningkat. Kini tiba ke paras pinggang.
Adik-adik lelaki yang lain berehat seketika selepas kepenatan mengangkat barang.
Tangan yang keletihan cuba untuk memegang almari berdekatan dalam rumah.
Tiba-tiba..almari tersebut bergerak. Almari yang berat itu dah mula terapung dalam air. Kami adik beradik sibuk mengangkat barangan dalam almari itu pula. Terlalu banyak barangan kaca dalam almari. Risau barang kaca akan bersepah dalam rumah selepas banjir surut, kami mencuba sedaya upaya untuk mengangkat semua barangan yang masih tersimpan rapi. Tiba-tiba peti yang berdekatan pula bergerak dan dilihat mula bergoyang untuk terjatuh. Kami cuba melarikan diri tapi keadaan yang sukar, kami hanya berada di tempat yang statik.

Bunyi yang kuat kedengaran. Peti tersebut jatuh serta barangan kaca yang tersusun di atas peti juga turut jatuh. Alhamdulillah, adik lelaki semuanya dalam keadaan yang baik. Cuma, kami risaukan kaca yang berselerakan dalam air yang keruh, sukar untuk kami melalui kawasan tersebut yang mungkin akan menyebabkan kaki terpijak di atas kaca-kaca. Almari yang lain juga mula terapung. Ibu menjerit supaya kami menyelamatkan diri. Almari berdekatan semuanya makin bergoyang dan mula terjatuh.

Kami selamatkan diri, berlari ke tingkat dua rumah.
Disitulah kami berdiam diri, berdoa dan berharap agar semuanya selamat.
Ibu dan ayah risau air akan terus meningkat. Di mana kami nak lari jika air terus meningkat?

Dalam gelap, berharap dan berdoa.
Air makin meningkat. Ketika itu air sudah melepasi paras 160cm.
Lihat suasana di luar tingkat. Banyak bot penyelamat tiba untuk selamatkan penduduk kampung yang terperangkap dalam banjir. Di rumah mereka, air sudah pun mencapai hingga ke paras bumbung.

Malam. Gelap dan bertemankan lilin. Bekalan air makin berkurangan.
Mujur ada stok makanan yang ibu selamatkan di tingkat bawah, makanan itu dijadikan alas perut kami. Air masih belum surut. Dalam gelap, tiba-tiba bau minyak hadir dalam rumah kami. Risau juga air yang kotor bercampur dengan minyak akan membahayakan rumah.

12 tengah malam. Tiba-tiba ada bunyi seolah-olah ada seseorang memasuki rumah kami. Adik lelaki yang belum melelapkan mata pergi kearah bunyi tersebut. Yup, betul-betul ada manusia di tangga rumah kami. Dia membawa bungkusan makanan, lilin dan juga powerbank. Eheh. Powerbank? Gembira hati ibu sebentar. Kami gusar jika phone kekurangan bateri, bagaimana kami ingin menghubungi penyelamat jika ada berlaku apa-apa yang merbahaya di rumah kami. Yang membawa bantuan itu merupakan sahabat kakak, alhamdulillah. Makanan yang diberi itu dijadikan sebagai alas perut kami pada keesokkan pagi. (masih bermain dalam fikiran kami, bagaimana dia (datang memberi bantuan) melalui kawasan rumah kami yang penuh dengan barangan terapung dan paras air yang tinggi? Mungkin dia berenang kot?)

Alhamdulillah. 100% air surut keesokkan pagi. Terkejut mata melihat dengan keadaan rumah di tingkat bawah. Majoriti semuanya musnah. Dalam rumah dipenuhi lumpur. Di luar rumah dipenuhi dengan sampah. Bau busuk, lumpur dan minyak bercampur. Ibu dan ayah redha dengan semua yang berlaku.

Dalam kesedihan dan rintihan ibu ayah mengenai rumah kami, ada yang lebih meyayat hati. Ramai yang kehilangan tempat tinggal. Kami sekeluarga yang hanya mengharapkan duit sewa rumah, masing-masing penyewa juga sukar untuk memberi wang kepada kami kerana keadaan mereka juga seperti kami. Banyak kerosakan dan barangan jualan mereka musnah.

13 hari dalam bergelap, tanpa elektrik. Siapa sangka, diri ini dan kami sekeluarga survive? Eheh.

Pelbagai kisah yang meyayat hati. Kaki melangkah ke sebuah perkampungan ditemani adik lelaki.
Benar, keadaan kampung yang banyak kerosakan dan banyak yang kehilangan tempat tinggal. Sedih. Siapa yang tidak sedih kehilangan tempat tinggal? Dua minggu cuti semesta dihabiskan masa bersama keluarga, kami bersama-sama membersihkan rumah yang dipenuhi dengan lumpur. "Permandangan" dalam rumah kami bertukar permandangan yang kosong. Hampir semua perabot musnah.

Ada hikmah disebalik kejadian ini. Ibu ayah tabah hadapi. Yang amat tabah, keluarga-keluarga kehilangan tempat tinggal atau kehilangan keluarga tersayang. Arus air banjir benar-benar deras. Alhamdulillah, walau rumah dilanda banjir tapi kami masih memiliki tempat tinggal dan juga semua ahli keluarga kami selamat :)

Ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku.
Ambil ibrah dan pengajaran dengan kejadian ini.
Moga ia akan membentuk para muslim untuk menjadi lebih kuat dan gagah dari segi rohani dan jasmani. inshaAllah.



More pictures --> roseofjannah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment